Wanita Warga Rusia Dakwa Dirompak Adalah Penipuan

 Gambar wanita warga asing yang ditularkan di media sosial.

KOTA KINABALU: Wanita warga Rusia yang didakwa berada di sebuah bank selepas dirompak sehingga kehilangan barangan serta dokumen peribadi adalah penipuan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata wanita warga asing terbabit yang didakwa bercuti di sini mengambil kesempatan meraih simpati orang awam.

“Maklumat awal diterima berkenaan wanita terbabit yang mendapatkan bantuan kewangan daripada orang awam selepas mendakwa barangan serta dokumen peribadinya dilarikan penjenayah.

“Beberapa anggota polis kemudiannya ditugaskan ke kawasan pelancong itu berada bagaimanapun dia bertindak melarikan diri.

“Kita percaya perbuatannya itu adalah taktik penipuan yang dilakukan oleh pelancong asing untuk mendapatkan wang melalui simpati orang ramai,” katanya.

Beliau berkata tindakan pelancong itu tidak diterima berikutan boleh menjejaskan tanggapan pelancong luar yang akan datang ke sini.

Tambahnya Kota Kinabalu adalah tempat selamat untuk dikunjungi berikutan adanya kehadiran polis serta agensi lain yang bertanggungjawab menjaga keamanan di sini.

Gambar wanita warga asing itu mula tular di media sosial yang didakwa terpaksa berada di lobi sebuah bank berikutan barangan peribadinya dirompak.

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *