Azmin, 10 Ahli Parlimen Akan Sertai PPBM Sebalik Petanda PKR Akan Alih Sokongan

KUALA LUMPUR: Kumpulan 11 ahli Parlimen PKR yang keluar parti itu minggu ini susulan pemecatan Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden akan menyertai PPBM, langkah yang boleh meningkatkan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad di sebalik tanda-tanda kesetiaan ahli Parlimen Pakatan Harapan akan beralih kepada Anwar Ibrahim.

“Semua kecuali seorang cukup syarat-syarat untuk menjadi ahli PPBM,” kata sumber, mengesahkan kemasukan 11 orang yang membentuk blok bebas selepas keluar PKR.

Keahlian PPBM terbuka kepada semua Bumiputera.

Selain Azmin, 10 yang lain Zuraida Kamaruddin, Saifuddin Abdullah, Baru Bian, Kamarudin Jaffar, Mansor Othman, Rashid Hasnon, Ali Biju, Willie Mongin, dan Jonathan Yasin.

Dipercayai seorang lagi ahli Parlimen, Santhara Kumar, akan jadi ahli bersekutu.

FMT juga difahamkan Anwar dan ahli Parlimen PKR berniat mencadangkan namanya sebagai perdana menteri dalam perjumpaan dengan Agong.

Perkembangan ini walaupun PKR dan DAP secara terbuka menyatakan sokongan kepada Mahathir untuk mengetuai gabungan pemerintah yang dihidupkan semula susulan tumbangnya Pakatan Harapan minggu ini.

Ini juga berlaku ketika sumber-sumber percaya Mahathir berbelah bagi antara “pilih kumpulan sama yang menyeru beliau letak jawatan” dan blok baru yang sokongan bersyarat mereka menekannya dengan alternatif yang tidak diingini.

“Selepas perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin politik semalam, jelas Mahathir ada sokongan majoriti untuk jadi PM lagi. Ada tanda-tanda ini tidak boleh berlaku apabila ahli-ahli Parlimen PKR menyatakan pilihan mereka kepada Agong hari ini,” kata sumber kepada FMT dengan syarat beliau tidak dinamakan.

“Beliau berdepan 2 alternatif tidak diingini, alternatif satu lagi adalah syarat yang ditetapkan oleh pemimpin Umno,” kata sumber yang tahu tentang perbualan peribadi antara ahli-ahli politik utama.

Satu blok diwakili PKR, DAP, dan Amanah, anggota PH yang tinggal, yang kebanyakannya terdiri daripada ahli Parlimen yang akhirnya mahu Presiden PKR, Anwar Ibrahim ambil alih jawatan perdana menteri.

Satu lagi blok terdiri daripada pihak lain, kebanyakannya mereka yang tidak mahu DAP jadi sebahagian kerajaan persekutuan masa depan.

Tiga parti PH yang tinggal dalam mesyuarat semalam capai persetujuan mengenai kerajaan baru, menjelang perjumpaan dengan Agong di Istana Negara hari ini.

Sumber: FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *