Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mengambil ketetapan mempertahankan pendirian berprinsip Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak akan bekerjasama dengan Umno.
Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Armada tidak akan bekerjasama dengan parti di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, ini adalah kerana isu rasuah, salah guna kuasa dan kes rasuah yang berjalan di mahkamah membabitkan pimpinan tertinggi Umno yang mengepalai parti itu.
“Armada juga mengambil ketetapan mempertahankan mandat diberi rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
“Rakyat berkuasa dan sudah memilih kerajaan dan kita tidak membenarkan pencatur kuasa menentukan hala tuju negara,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat Armada di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), malam ini.
Syed Saddiq berkata, pihaknya ingin memastikan bahawa apabila anak muda menyertai politik mereka ikhlas ingin membersihkan politik.
“Jangan hantar mesej buruk dan negatif sampai anak muda benci politik.
“Kita perlu pertahankan mandat ini dan mempertahankan prinsip Tun Dr Mahathir tidak bekerjasama dengan Umno,” katanya.
Beliau turut menegaskan akan bersama-sama Dr Mahathir dalam isu ini.
Sumber: Harian Metro