KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya membongkar taktik seorang lelaki yang menjadikan sebuah kondominium di Jalan Lintas, kepayan di sini, sebagai tempat penyimpanan pelbagai jenis dadah sejak beberapa bulan lalu.
Serbuan pada 9.25 pagi, Sabtu lalu oleh pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM743,280.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 47 tahun berasal dari Sibu, Sarawak di kawasan lot parkir tingkat bawah kondominium berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg sandang yang dipakai suspek menemukan satu bungkusan surat khabar mengandungi empat peket plastik berisi dadah jenis syabu dan anggaran berat keseluruhan 156 gram.
“Soal siasat suspek terbabit membawa kepada serbuan di sebuah bilik di kondominium berkenaan dan menemukan pelbagai jenis dadah antaranya dadah jenis syabu seberat 1,624 gram.
“Dadah jenis ketamin (2,662 gram), pil ecstacy (2,801 gram), dan pil erimin 5 (1,090 biji) dan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM743,280. Semua barangan berkenaan ditemui dalam kotak logam yang disimpan dalam bilik kondominium berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Sabah, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji dan Ketua JJSN IPK Sabah, Superintendan Ahmad Jawila.
Mengulas lanjut, Zaini berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku bekalan dadah berkenaan diperoleh daripada seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali melalui aplikasi telefon untuk diedar dalam pasaran tempatan.
“Suspek dipercayai menyewa dua unit kondominium dengan harga RM1,700 bagi setiap unit sejak Julai lalu dan satu unit kondominium itu dijadikan sebagai tempat menyimpan dadah berkenaan.
“Siasatan dan risikan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan pembekal dadah berkenaan,” katanya.
Jelasnya, suspek kini sedang ditahan reman selama seminggu bermula semalam hingga 29 Februari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan,” katanya.
SumbeR: BorneoToday