Satu Maut, Dua Kereta Bertembung Di Tawau

Keadadaan kereta Axia yang terlibat kemalangan tersebut.

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan Perodua Viva yang dipandunya merempuh sebuah kenderaan lain di Batu 5, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa Mohammad Tyrone Salim, 44, disahkan maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Besar Tawau.

Terdahulu, mangsa bersama adik lelakinya, 43, dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Batu 6.

Bagaimanapun, sebuah kenderaan Perodua Axia yang dinaiki empat sekeluarga keluar dari simpang ke jalan utama sebelum didakwa masuk ke lorong kanan secara meluru.

Tindakan pemandu lelaki berumur 43 tahun itu menyebabkan mangsa yang berada di lorong kanan ketika itu, tidak sempat memberhentikan kenderaannya menyebabkan rempuhan berlaku.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi wartawan, hari ini.

“Hasil siasatan mendapati mangsa cuba memberhentikan kenderaannya sejauh 20 meter, namun gagal mengelak dan terus merempuh kenderaan Perodua Axia.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Besar Tawau,” katanya.

Keadadaan kereta Viva yang terlibat kemalangan tersebut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia disebabkan kegagalan jantung berfungsi akibat kekurangan darah.

Tambah Peter, lima individu lain termasuk adik mangsa, pemandu Perodua Axia, isteri dan dua anaknya berumur enam hingga 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua pemandu berkenaan tidak berada dibawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *