Mayat Lelaki Ditemukan Tergantung Di Kebun Getah

BEAUFORT: Mayat seorang lelaki ditemukan tergantung di sebuah kebun getah di Kuala Penyu semalam dipercayai akibat perbuatan bunuh diri.

Kehilangan lelaki berusia 44 tahun itu terlebih dahulu menjadi tanda tanya sehinggalah mayatnya ditemukan tergantung di pokok tersebut oleh anaknya sendiri pada pukul 5.15 petang.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd. Razak berkata, mangsa dikatakan keluar rumah pada 7 pagi untuk menghantar lima anaknya ke sekolah tetapi tidak menjemput anaknya yang pulang pada 11.30 pagi.

“Anak mangsa kemudian berjalan kaki ke tempat kerja bapanya di Kuala Penyu tetapi mangsa tiada hingga 5 petang. Anak mangsa kemudian dihantar pulang ke rumah oleh rakan sekerja mangsa.

“Sebaik tiba di rumah, lelaki itu bertanya kepada isteri mangsa di mana mangsa tetapi isteri menyatakan mangsa tiada di rumah sebelum mengarah tiga anaknya mencari di sekitar kebun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, tidak lama selepas itu, anaknya menemukan mangsa yang tergantung di pokok getah dan menjerit ke arah ibunya.

“Anaknya kemudian memotong tali untuk menyelamatkan bapanya tetapi mangsa sudah tidak bernyawa sebelum isterinya memaklumkan rakan sekerjanya untuk menghubungi polis.

“Siasatan masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat,” katanya.

Azmir berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak menunjukkan apa-apa simptom stress dan tidak mempunyai apa-apa hutang dengan ceti haram.

Tambahnya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

SumbeR: BorneoToday

11215