Wanita Sabah Ke-4 Tertinggi Daftar Insentif i-Suri – Hanna Yeoh

KOTA KINABALU: Sabah menduduki tempat keempat tertinggi daripada segi pendaftaran Caruman Sukarela Insentif Suri atau i-Suri yang dilaksana di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Hannah Yeoh berkata, daripada sejumlah 145,245 wanita yang telah berdaftar dengan i-Suri di seluruh Malaysia, seramai 17,330 orang adalah wanita dari Sabah.

Beliau berkata, daripada 331,365 orang wanita yang layak berdaftar di seluruh Malaysia sehingga 31 Januari lalu pula, hanya 43.8 peratus sahaja yang sudah berdaftar.

”Oleh itu, kita membawakan KWSP pada hari ini bagi membolehkan suri rumah, balu dan ibu tunggal yang telah berdaftar dengan e-Kasih untuk menyertai insentif i-Suri ini.

“Mereka hanya perlu mencarum RM5 setiap bulan dan mereka layak menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 sebulan. Namun pengeluaran i-Suri ini hanya boleh dikeluarkan selepas usia pencarum mencecah 50 tahun,” katanya semasa merasmikan Program Turun Padang ke Parlimen Sepanggar, di sini hari ini.

Menyentuh tentang bantuan kebajikan, Hannah berkata, sebanyak RM164juta telah disalurkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah tahun lalu, untuk dimanfaatkan oleh 40,743 orang penerima bantuan.

Katanya, bantuan kebajikan di Parlimen Sepanggar sepanjang tahun lalu adalah sebanyak RM232,700 melibatkan 671 orang penerima termasuk 381 penerima Bantuan Orang Tua.

Menurut beliau, mengenai ‘Jom Daftar OKU’ bagi membantu Orang Kelainan Upaya (OKU), sehingga Februari, seramai 35,485 OKU berdaftar di Sabah.

Jelasnya, bagi memudahkan orang awam mendapatkan maklumat mengenai bantuan disediakan di KPWKM, kementerian itu turut menyediakan talian bebas tol iaitu Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam bagi membantu orang awam yang ingin mendapatkan maklumat dan mengadukan masalah sosial yang berlaku.

“Kini perkhidmatan talian Kasih ini diperluaskan kepada aplikasi Whatsapp di talian 019 261 15999 bagi memudahkan orang ramai terutama OKU pendengaran dan pertuturan untuk menyalurkan aduan,” ujarnya.

Dalam program itu, sebanyak 100 cermin mata untuk membaca serta enam kerusi roda turut disampaikan kepada penerima yang telah dikenal pasti.

Turut hadir dalam program itu, adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman serta Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon. – BorneoToday

912