Perintah Berkurung Di ESSzone Dilanjutkan Sehingga 6 Mac

KOTA KINABALU, 19 Feb: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSzone) yang berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 6 Mac ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass,  berkata perintah berkurung dari jam 6 petang hingga jam 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Beliau berkata, dengan berkuat kuasa perintah berkurung itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara jam 6 petang hingga jam 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Perintah berkurung ini juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di daratan ESSzone,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Zaini berkata, perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSzone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

BERNAMA

788