SEMPORNA: Sebuah kereta mewah rentung selepas musnah dalam kebakaran pada jam 4.30 petang di Taman Sempol Lorong 5, di sini semalam.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam melalui panggilan MERS 999 pada jam 4.32 petang berhubung kejadian tersebut.
“Sebaik menerima panggilan, lapan anggota bomba dan dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Anggota bomba mengambil masa tujuh minit untuk sampai ke lokasi kejadian dan mendapati sebuah kenderaan jenis Kenderaan Serba Guna (MPV) terbakar 100 peratus, ” katanya.
Katanya, anggota bomba berjaya mengawal api menggunakan satu aliran air daripada jentera bomba sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.57 petang.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu. Pihak bomba masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar yang ditanggung mangsa,” katanya lagi.
Sumber: Utusan Borneo