KOTA KINABALU: Seorang pemimpin muda Warisan mengkritik setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Sabah Razeef Rakimin kerana menggunakan media sosial untuk mempersoal pelantikan penyelaras di semua kerusi Parlimen yang diwakili pembangkang di negeri itu.
Timbalan ketua Pemuda parti itu Mohd Ismail Ayob berkata, bantahan terhadap mana-mana keputusan pemimpin kerajaan hendaklah dibuat melalui saluran yang betul, bukannya media sosial.
“Sudah pasti pelantikan penyelaras di semua kerusi Parlimen ini dibuat dengan pertimbangan menyeluruh kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Shafie Apdal.
“Persoalan yang ditimbulkan Razeef di media sosial mengganggu keharmonian yang terbentuk antara Warisan, Upko dan PH di Sabah,” katanya di sini hari ini.
Ismail mendakwa tindakan Razeef itu menjadikan “Deklarasi Anak Muda Sabah” yang ditandatangani oleh semua pemimpin Pemuda parti kerajaan Ogos lepas untuk menyokong penuh kepimpinan Shafie hanya “cakap kosong”.
“Warisan mengharapkan perpaduan dan semangat musyawarah dalam mengatasi masalah, bukannya menyalahkan satu sama lain. Kini bukan masanya untuk bermain politik, tetapi untuk memikirkan pembangunan serta ekonomi negeri bersama-sama,” katanya.
Semalam Razeef mendakwa Warisan memonopoli pelantikan tersebut dengan berkata, ia melantik ahli parti itu sebagai penyelaras di Kota Marudu, Kimanis, Keningau, Pensiangan dan Kinabatangan, iaitu kerusi Parlimen yang dikuasai pembangkang.
Razeef berkata, untuk berlaku adil, ahli PH sepatutnya dilantik sebagai penyelaras di Pensiangan kerana ia merupakan kerusi persekutuan yang ditandingi oleh PKR/PH Sabah dalam pilihan raya umum ke-14.
Katanya, Pemuda PH menuntut perkongsian yang saksama kerana gabungan politik itu telah menyumbang kepada kemenangan pada 2018.
Razeef juga membidas pengerusi PH Sabah Christina Liew dengan berkata, beliau sepatutnya lebih tegas dalam mempertahankan kepentingan parti komponen PH kerana ia kini dilihat tunduk kepada pemimpin Warisan.
Berhubung isu itu, Ismail berkata, Razeef sepatutnya berfikir panjang dan bijak sebelum membuat kenyataan yang boleh melukakan perasaan penyokong Warisan dan kepimpinan kerajaan.
Beliau juga berkata, Razeef sepatutnya menyalurkan rasa tidak puas hati beliau secara langsung kepada Christina dan tidak ada alasan untuk tidak berbuat demikian kerana timbalan ketua menteri itu akan menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet Sabah setiap hari Rabu.
“Justeru perlu ditegaskan bahawa beliau tidak seharusnya membangkitkan apa-apa isu yang boleh mengancam keharmonian dan kerjasama antara pemimpin Warisan, Upko dan PH di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, terdapat kerja penting lain yang perlu difikirkan dan dilaksanakan bagi membantu rakyat, bukannya membuat kenyataan yang boleh menghalang usaha itu.
Sumber: FMT