BELURAN: Ada yang meninggal dunia dan ada juga yang terpaksa melahirkan bayi ketika dalam perjalanan ke hospital.
Demikian dilema yang dihadapi penduduk Paitan berikutan keadaan jalan raya yang rosak teruk sejak lebih lima tahun lalu.
Seorang penduduk Kampung Binanjar, Doon Serakan, 55, berkata situasi itu pernah dilalui keluarganya apabila ada yang melahirkan dalam perjalanan ketika melalui jalan itu untuk ke Hospital Pitas.
Katanya, keadaan jalan yang teruk menyebabkan perjalanan menjadi perlahan sehingga akhirnya ada yang bersalin sebelum sempat tiba di hospital.
“Apa yang saya tahu setakat ini sudah ada lima kes sedemikian berlaku. Sebenarnya jika jalan itu elok, perjalanan ke Hospital Pitas mengambil masa sejam sahaja.
“Tetapi kerana keadaan jalan raya yang rosak, perjalanan akan mencecah hampir dua jam atau lebih,” katanya berharap pihak berkaitan untuk membaiki jalan terbabit dengan segera demi kemudahan masyarakat.
Manakala seorang penduduk Kampung Musinggapu Darat, Mamayu Duit, 62, berkata jalan Paitan ke Kanibongan itu dinaik taraf kepada jalan berturap dan siap sepenuhnya pada 2004.
Menurutnya, kerosakan teruk berlaku pada tahun 2015 sehinggalah hari ini.
“Selepas rosak ia memang ada dibaiki tetapi tidak bertahan lama lalu rosak semula. Namun sejak 2015, ia menjadi terlalu teruk,” katanya.
Sementara itu, peruntukan bagi membaiki jalan Paitan ke Kanibongan, sudah dibawa dalam mesyuarat Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah.
Pembantu Menterinya, Datuk Muis Picho berkata, perkara berkenaan sudah pernah dibincangkan sebelum ini.
Menurutnya, ia adalah rancangan dalam masa terdekat bagi mengatasi masalah terbabit.
“Dalam perancangan waktu yang terdekat ini, kita sudah mencadangkan dalam beberapa kali mesyuarat di kementerian supaya kita mendapatkan satu peruntukan untuk membaiki jalan raya terbabit.
“Kami sedia maklum, banyak kenderaan yang menggunakan jalan itu, kita sebagai kerajaan negeri juga bertanggungjawab supaya mendapatkan peruntukan untuk membaikinya,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, jalan berkenaan adalah di bawah kerajaan negeri dan sudah memohon ia ditukarkan status kepada jalan persekutuan.
“Pihak kami sudah mengirimkan surat kepada Kementerian Kerja Raya berhubung permintaan itu sejak tahun lalu lagi.
“Namun, sehingga hari ini tiada maklum balas diberikan,” katanya.
Sumber: Berita Harian