Kontraktor Bekal Makanan Ke Asrama Sekolah Dipenjara Sebulan, Denda RM60,000

KOTA KINABALU, 18 Feb: Seorang kontraktor penyediaan makanan didenda RM60,000 dan sebulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bernilai RM7.397 juta pada 2016.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Sadiah Sundai, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan memalsukan penyata bank syarikat miliknya untuk melayakkannya mendapat tender berkenaan Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak ke asrama sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan memalsukan penyata bank itu pada 24 November 2016 untuk mendapatkan kontrak membekal makanan bermasak melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tetagas, Nabawan dengan nilai tender RM1.195 juta; SK Longgongon, Nabawan (RM 2.915 juta) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor, Keningau (RM3.287 juta).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, PJ Pereira meminta mahkamah supaya hanya mengenakan hukuman denda memandangkan tertuduh mengakui kesalahannya.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Faliq Basirudin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kes ini berlaku di JPNS dan ia melibatkan kepentingan awam.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, dua lagi kontraktor penyediaan makanan mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender daripada JPNS.

Terduduh pertama, Aini Yarmia, 39, menghadapi tiga pertuduhan manakala Shafiah Makajin, 53, didakwa atas enam pertuduhan memalsukan penyata bank untuk tujuan mendapatkan tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak ke asrama sekolah-sekolah di bawah KPM pada 2016.

Hakim Abu Bakar kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin  kepada setiap tertuduh, selain mengarahkan tertuduh supaya menyerahkan pasport kepada mahkamah serta memutuskan 1 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

BERNAMA

2219