Edar Dadah, Lelaki Warga Filipina Ditahan Bersama Syabu 6.15 Gram

LAHAD DATU: Tindakan seorang lelaki warga Filipina cuba melarikan diri tidak berjaya apabila dia dicekup polis selepas dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di Kampung Desa Bajau, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 6.15 gram dianggarkan bernilai lebih RM900.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, terdahulu, pihaknya melancarkan Op Ice Breaker selepas menerima maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah di lokasi berkenaan.

“Dalam operasi tersebut, polis menjumpai suspek berumur 36 tahun di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak agresif sebaik menyedari kehadiran polis,” katanya.

Tambah Nasri, hasil ketangkasan pegawai dan anggota bertugas, suspek berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan.

“Hasil pemeriksaan ke atas badan suspek, polis menemui empat paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur dipercayai syabu yang disimpan dalam satu kotak rokok milik lelaki berkenaan.

“Lelaki itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditahan,” katanya.

Menurut Nasri, ujian saringan air kencing suspek juga menunjukkan positif kandungan methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1951 dan Seksyen 6 (1) (a) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: BorneoToday

1926