Hotel Tabung Haji Cuma Pindah Pengurusan

Hotel Tabung Haji Kota Kinabalu

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menutup empat hotel Tabung Haji, sebaliknya rangkaian hotel itu akan beroperasi di bawah pengurusan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJ).

Lembaga Tabung Haji (TH) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, operasi di hotel yang sudah dipindah milik daripada TH kepada UJ iaitu TH Hotel Kota Kinabalu; TH Hotel Bayan Lepas; TH Hotel & Convention Centre Alor Setar; dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu akan diteruskan di bawah anak syarikat milikan penuh UJ, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM).

“UJPM akan mengambil alih operasi keempat-empat hotel berkenaan yang sebelum ini di bawah seliaan TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) bermula 1 April 2020.

“Semua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu (1) syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 bilion pada hari pemindahan. UJ sudah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 bilion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini,” demikian mengikut kenyataan yang disiarkan menerusi laman web rasmi TH.

Penubuhan UJPM, katanya, adalah salah satu langkah untuk memastikan kesinambungan pekerjaan serta operasi hotel memandangkan aset-aset hotel di bawah milikan TH sudah berpindah milik kepada UJ pada Disember 2018 tanpa berlakunya perpindahan pengurusan dan kakitangan hotel.

“Operasi hotel di bawah pengurusan baharu ini akan beroperasi seperti sedia kala dan kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Raia Hotel mulai 1 April 2020.

“UJ juga sudah menyediakan dana bagi menambahbaik kemudahan dan fasiliti hotel untuk memberi manfaat kepada pengunjung.

“UJ juga ingin meyakinkan orang ramai bahawa hotel-hotel ini boleh digunakan seperti mana yang telah dipraktikkan dulu semasa musim operasi haji,” katanya.

TH menegaskan, tiada kakitangan THHR akan diberhentikan.

“Seramai 90 peratus daripada kakitangan THHR akan terus bekerja di rangkaian Raia Hotel, manakala 10 peratus kakitangan hotel akan diserap oleh THHR Kelana Jaya.

“Selain itu, 90 peratus kakitangan yang terbabit juga akan menerima sagu hati berdasarkan sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan di THHR. TH akan sentiasa menjaga kebajikan kakitangan yang terbabit demi kelangsungan karier mereka di masa hadapan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *