(VIDEO) Polis Trafik Selamat Selepas Dirempuh Alza Di Bulatan Masjid Negeri

Detik cemas anggota polis trafik yang dirempuh sebuah kereta ketika mengawal lalu lintas hingga tular di media sosial.

KOTA KINABALU: Seorang anggota polis trafik terselamat meskipun dirempuh sebuah kereta hingga terpelanting ketika sedang mengawal lalu lintas di Bulatan Masjid Negeri di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, anggota trafik yang bertugas di Balai Polis Trafik Kota Kinabalu sedang berdiri di sisi motosikalnya berdekatan bulatan itu sebelum dirempuh sebuah Perodua Alza.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kereta terbabit dipandu seorang wanita berusia 32 tahun dari arah Tanjung Aru menuju ke Kepayan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, Perodua Alza berkenaan dikatakan mahu keluar dari bulatan menuju ke terowong Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Ketika memandu di lorong paling kanan, sebuah kereta Inokom Hyundai dipandu lelaki 37 tahun masuk ke dalam bulatan dari arah kiri jalan lalu melanggar bahagian sebelah kiri Perodua Alza itu.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Alza hilang kawalan lalu meluncur ke hadapan dan terlanggar anggota trafik bersama motosikalnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, anggota polis trafik berusia 50 tahun dan pemandu Perodua Alza tidak cedera hanya mengalami kerosakan pada kenderaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Dalam rakaman video yang tular di media sosial itu menunjukkan anggota trafik terbabit terus bangun manakala pemandu kereta Perodua Alza keluar daripada kenderaan sebelum dibantu orang awam.

https://www.facebook.com/apaz.lanaz/videos/147146846747551/

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *