Bapa Terlupa, Bayi Tertinggal Ditemui Mati Dalam Kereta

Bayi berusia lingkungan 12 bulan ditemui mati dalam kenderaan bapanya di Kompleks Tun Razak di Indera Mahkota tengah hari tadi.

Bayi perempuan berusia sembilan bulan yang ditemui mati di dalam kereta di Indera Mahkota, Kuantan, hari ini, dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan itu kira-kira empat jam.

Difahamkan, Annur Jannatul Syuhada Mohd Khalil tertinggal dalam kenderaan itu akibat bapanya yang berusia 38 tahun terlupa menghantar bayi itu ke taska sebelum ke tempat kerja di Kompleks Tun Razak (Komtur) di Indera Mahkota.

Ahli keluarga mangsa menunggu di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu hanya ditemui ketika bapanya keluar makan tengah hari pada waktu rehat berkerja, kira-kira 1 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan siasatan, bapa bayi itu sepatutnya menghantar mangsa ke sebuah taska di Indera Mahkota 15.

Bagaimanapun, katanya, bapanya terlupa menghantar bayi berkenaan ke taska itu sebelum ke tempat kerja dan mangsa ditinggalkan di dalam kereta kira-kira empat jam, bermula 9 pagi.

“Sebelum itu, bapa bayi itu menghantar anak perempuan sulung berusia 10 tahun ke sebuah sekolah di Kampung Chendering, pada 7.20 pagi.

“Selepas itu, lelaki terbabit pulang ke rumah mengambil isteri berusia 39 tahun untuk dihantar ke tempat kerja, selain seorang lagi anak perempuan berusia enam tahun dan mangsa.

“Pada 8.25 pagi, dia menghantar anak perempuannya itu ke sekolah yang sama untuk sesi prasekolah sebelum menghantar isteri ke tempat kerja di Indera Mahkota.

“Lelaki itu sepatutnya menghantar bayinya ke taska, sebaliknya dia terus menuju ke tempat kerjanya di Komtur,” katanya pada media, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan dengan mengambil kira semua aspek, termasuk salah laku jenayah dan kecuaian.

“Kertas siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 200,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di bilik mayat HTAA mendapati saudara mara dan rakan keluarga bayi itu menolak untuk ditemu ramah.

Sumber: Harian Metro

1311