Ikatan Kasih Madu Di Puncak Gunung Kinabalu

(Gambar kiri) Mohd Fazil bersama dua isterinya, Suhana (kanan) dan Khairatul Azwa. (Gambar kanan) Suhana (kiri) dan Khairatul Azwa ketika meraikan hari lahir di puncak Kinabalu. Gambar Ihsan Mohd Fazil Mohd Dali

KOTA KINABALU: Dua wanita ini bukan hanya sekadar bermadu, bahkan mencipta kejayaan dan sejarah bersama apabila menawan puncak Gunung Kinabalu, semalam.

Suhana Mokhtar, 41, dan Khairatul Azwa Khairul Anwar, 37, tiba di puncak Gunung Kinabalu pada 6.20 pagi selepas memulakan pendakian kelmarin.

Difahamkan pendakian dua madu itu ke puncak sepatutnya disertai suami mereka, Mohd Fazil Mohd Dali, 45, tetapi Mohd Fazil terpaksa menghentikan pendakian kerana serangan penyakit akut gunung (AMS).

Khairatul Azwa berkata, dia bersama Suhana dan suaminya menjalani latihan sejak tiga bulan lalu sebelum mendaki Gunung Kinabalu itu.

“Hasrat sebenar kami bertiga ialah untuk menyambut hari lahir saya di puncak gunung itu pada 15 Februari (semalam).

“Memandangkan suami diserang AMS ketika dalam perjalanan ke puncak, suami dinasihatkan ketua ekspedisi supaya berpatah balik ke Laban Rata (tapak persinggahan).

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana berjaya sampai ke puncak dan meraikan hari lahir yang ke-37 di puncak tertinggi itu dengan ditemani madu sendiri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Suhana berkata, dia bersama 15 peserta ekspedisi termasuk pelakon, Fizo Omar dan Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin mula mendaki pada 9 pagi dari Pintu Timpohon menuju ke Laban Rata sejauh enam kilometer.

“Perjalanan berbaki sejauh tiga kilometer lagi disambung pada jam 3.30 pagi semalam (Sabtu) untuk menuju puncak tertinggi yang mengambil masa lebih tiga jam perjalanan.

“Alhamdulillah, perjalanan menawan puncak tertinggi ini berjalan lancar, walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan renyai.

“Saya berasa puas kerana hasrat untuk menawan puncak tertinggi itu tercapai, walaupun baru bergiat dengan aktiviti lasak berkenaan,” katanya.

Sementara itu Mohd Fazil berkata, meskipun gagal menawan puncak Gunung Kinabalu akibat diserang AMS, dia tetap bangga kerana dua isterinya berjaya sampai ke puncak itu.

“Pendakian gunung tertinggi itu memerlukan semangat dan kekuatan mental selain kesihatan tubuh badan yang sepenuhnya.

“Saya bercadang untuk menjalani latihan dan kembali semula ke Sabah untuk mencapai hasrat menawan puncak gunung itu pada tahun ini,” katanya.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan Mohd Fazil atau lebih mesra dengan panggilan Cik Fazil mempunyai empat isteri iaitu Harlinda Suparman, 45, Suhana Mokhtar, 41, Nur Izzati Mad Wazi, 34, dan Khairatul Azwa Khairul Anwar, 37 serta 14 anak berusia antara dua hingga 18 tahun hasil daripada enam perkahwinannya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *