Terpaksa Belanja Lebih RM500 Beli Air Mineral Setiap Bulan

Sebahagian peserta yang menyertai program Perhimpunan Aman Isu Air Daerah Beaufort di Kompleks Sukan Beaufort. – Foto Ihsan Pembaca

BEAUFORT: “Masalah air yang berlarutan di kampung menyebabkan saya terpaksa berbelanja sebanyak RM500 ke atas untuk membeli air mineral setiap bulan.”

Begitulah luahan Dk Hasimah Pg Tahir, 34, salah seorang penduduk Kampung Bangkalalak, di sini, mengenai masalah ketiadaan air di kampungnya sejak dahulu lagi.

Dk Hasimah yang bekerja di kedai, berkata rumahnya hanya menggunakan pam air dari sungai untuk kegunaan harian.

Sebahagian peserta yang menyertai program Perhimpunan Aman Isu Air Daerah Beaufort di Kompleks Sukan Beaufort. – Foto Ihsan Pembaca

“Rumah saya hanya menggunakan pam air untuk mengepam air dari sungai. Namun, agak susah air dari sungai terbabit untuk dipam dan jika berjaya dipam, airnya tidak jernih. Jadi, air itu hanya digunakan untuk mandi, mencuci pakaian dan mengepam tandas selepas digunakan.

“Kalau ingin minum air, memasak dan mandi ( jika air langsung tiada) kami terpaksa menggunakan air mineral dalam botol. Sekotak air mineral itu boleh habis digunakan hanya dalam tempoh satu atau dua hari.

“Sebulan kami berbelanja antara RM400 hingga RM500 sebulan untuk membeli air mineral botol. Jika musim kemarau menjelang, perbelanjaan untuk membeli air mineral botol boleh mencecah RM1000 ke atas,” katanya ketika ditemui BH di kediamannya.

Beliau turut berkata, tempoh ketiadaan air biasanya berlaku berhari-hari dan juga pernah mencecah sehingga sebulan.

“Biasanya dalam tempoh dua atau tiga hari, air pasti tiada. Namun ada kalanya seminggu dan juga pernah mencecah hingga sebulan tiada air di rumah. Jika hujan turun, kami akan menadah air dengan menggunakan tong besar.

“Seluruh penduduk Kampung Bangkalalak dan sekitar sini menghadapi masalah yang sama sejak bertahun lamanya. Kami berharap pihak berwajib dapat lakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya yang ditemui pada program Perhimpunan Aman Isu Air Daerah Beaufort, di Kompleks Sukan Beaufort, di sini, pagi tadi.

Penduduk Kampung Lajau Lubak, Makiah Olim, 58, seorang suri rumah pula, berkata masalah air dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

“Masalah air ini sudah berlaku sejak dahulu lagi tetapi sekarang, ia menjadi semakin teruk. Air selalu tidak ada dalam tempoh dua atau tiga hari tetapi kadang-kala mencecah sehingga seminggu.

“Mahu atau tidak, keluarga saya terpaksa membeli air mineral. Biasanya, saya akan beli 10 kotak dan dalam sebulan terpaksa membelanjakan sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan.

“Walaupun ada penapis air di rumah tetapi biasanya saya akan mengisinya dengan air mineral kerana kami tidak berani minum air dari paip rumah, khuatir akan tahap kebersihannya,” katanya.

Pengasas program Perhimpunan Aman Isu Air Daerah Beaufort, Mohd Shafiq, berkata program hari ini disertai peserta hampir 50 orang bagi meluahkan masalah air.

“Kami mengumpul petisyen dalam dan luar talian yang mencecah 1000 ke atas. Bersama dengan petisyen ini, kami akan menghantar memorandum untuk pihak berkaitan dan juga kerajaan negeri bagi mengatasi masalah isu air yang membelenggu penduduk Beaufort,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *