TUARAN: Sebuah pasar raya di Tuaran, hari ini dikompaun RM20,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah kerana menjual penutup hidung dan mulut lebih daripada harga kawalan.
Ketua Cawangan KPDNHEP Daerah Tuaran, Siti Kamaliah Syamsuddin berkata, kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan kira-kira jam 11 pagi susulan aduan awam.
Katanya, pegawai KPDNHEP yang membuat pemeriksaan mendapati harga runcit sekotak berisi 100 keping penutup hidung dan mulut di pasar raya itu dijual dengan harga RM10.90.
“Harga kawalan yang ditetapkan adalah RM10 sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.
Katanya, 29 Januari lalu, pihaknya menjalankan pemeriksaan harga kawalan ke atas 75 premis di sekitar daerah ini.
Siti Kamalliah berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan secara berterusan di sekitar Tuaran disusuli daerah Kota Belud serta Ranau.
“Sekiranya pengguna menghadapi masalah dari segi harga jualan topeng muka atau barangan lain, sila kemukakan aduan ke pejabat KPDNHEP negeri atau cawangan berdekatan,” katanya.
Sumber: Harian Metro