KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah memperuntukkan dana sebanyak RM2 juta untuk melaksanakan Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) tahun ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, program BALBA adalah antara inisiatif baharu yang diperkenalkan kementeriannya bagi membantu penduduk luar bandar yang sering berhadapan masalah bekalan air.
“BALBA adalah program pembekalan air dengan kaedah alternatif terawat sama ada menggunakan sistem paip air graviti dan telaga tiub atau sumber air bawah tanah di kawasan terpencil dan jauh daripada capaian sistem retikulasi Jabatan Air Negeri Sabah.
“KPLB Sabah bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah untuk mengenalpasti sumber air bawah tanah sebagai bekalan air kepada kampung di luar bandar.
“Ini kerana mereka mempunyai kepakaran dan teknologi hidrogeologi mengenalpasti sumber air bawah tanah dan membina sistem telaga tiub bekalan air dari bawah tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di Pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, di Kota Kinabalu, semalam.
Kunjungan terbabit diketuai oleh Penanggung Timbalan Pengarah (Makmal) JMG Sabah, Dr Morius Bantas serta Ketua Aktiviti GeoWarisan Jenneth Cyril; Ketua Aktiviti Geologi Alam Sekitar, Fredolin Javino dan Ketua Aktiviti Hidrogeologi, Jaineh Lingi.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, peruntukan yang tersedia ini mencakupi kajian geofizik, pemasangan telaga tiub, bangunan pam dan rawatan air bawah tanah.
“Pada masa sama, kita juga boleh memperbaiki telaga air sedia ada yang dibina penduduk kampung luar bandar dengan menggunakan kaedah terbaru ‘Telaga Caisson’ yang dibangunkan oleh JMG,” katanya.
Ewon berkata, kementerian juga akan menyediakan peruntukan untuk membina bangunan pam air dan rawatan air di Kampung Gaur dan Kampung Nahaba Kadamaian, Kota Belud yang mana telaga tiub sudah siap dibina dan dipasang oleh JMG tahun lalu.