2 Pelajar Melecur, Madrasah Terbakar Di Tawau

Foto Medial Sosial Facebook

TAWAU: Dua pelajar lelaki melecur di kaki ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran bangunan madrasah dua tingkat di Kampung Sri Bombalai, dekat Tawau, semalam.

Kejadian pada 6.50 petang itu mengakibatkan Madrasah Ad-Diniah Ar-Rahmaniah, Pondok Sungai Imam, terbakar 95 peratus.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulbada Alior berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 6.56 petang.

Foto Medial Sosial Facebook

“Sepasukan 18 anggota bersama empat jentera dihantar ke lokasi kejadian.

“Operasi memadam struktur bangunan separuh kekal berkeluasan kira-kira 33.4 meter persegi itu menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran dan api dapat dikawal 10 minit kemudian,” katanya.

Beliau berkata, dua pelajar melecur pada bahagian kaki akibat terpijak bara api ketika menyelamatkan diri.

“Mereka diberi rawatan awal oleh Pasukan EMRS dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

“Punca kebakaran dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Foto Medial Sosial Facebook

Sumber: Harian Metro

1498