KOTA KINABALU: Sebuah rumah jenis separuh kekal di Kampung Ganang Kepayan, di sini, terbakar 70 peratus petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sabah mengesahkan pihak Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.50 petang.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian dengan jarak 18 kilometer dari balai.
“Operasi diketuai Pegawai Bomba Tinggi l Jamaludin Hussin bersama 27 orang anggota penyelamat dengan menggerakkan dua buah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Water Tanker, dan sebuah jentera kecemasan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Dua buah jentera kecemasan Rapid Intervension Motorcycle (RIM) dan sebuah kenderaan utiliti jabatan pelbagai guna juga telah digerakkan ke lokasi kejadian,” kata jabatan itu.
Operasi dapat dikawal pada kira-kira pukul 2.20 petang dan tamat sepenuhnya pada pukul 3.30 petang. – BorneoToday