Penyeludup Rokok Lari Tinggalkan Rakan Diberkas Polis

LAHAD DATU: Seorang lelaki sanggup meninggalkan rakannya selepas menyedari kehadiran polis ketika membawa rokok kretek seludup di Kampung Sabah Baru, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, suspek bertindak melarikan diri meninggalkan rakannya berumur 45 tahun dan 1,040 kotak rokok kretek bernilai RM31,200.

Rokok tanpa cukai yang dirampas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, turut dirampas kenderaan Proton Waja yang digunakan suspek untuk membawa rokok seludup berkenaan.

“Terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota dari Tiger Platoon Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu ke lokasi kejadian untuk melakukan pemantauan selepas menerima maklumat risikan berlaku aktiviti penyeludupan di situ.

“Pasukan berkenaan kemudian terserempak dengan sebuah Proton Waja di lokasi dalam keadaan mencurigakan,” katanya

Tambah Nasri, seorang daripada suspek bertindak melarikan diri ke kampung berhampiran sebaik menyedari kehadiran polis.

Kereta Waja yang digunakan suspek

“Hasil pemeriksaan di atas kenderaan yang ditinggalkan, PGA menemui seorang lelaki berada di tempat duduk penumpang hadapan dan muatan rokok kretek.

“Difahamkan, rokok seludup berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menerusi Tawau sebelum dihantar ke Lahad Datu,” katanya.

Sehubungan itu, polis menahan suspek dan merampas semua rokok serta kenderaan terbabit untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

490