Dua Warga Filipina Ditahan Guna Dokumen Orang Sudah Mati

Gambar Hiasan

RANAU: Taktik dua wanita warga asing menggunakan dokumen milik individu sudah meninggal dunia untuk memohon kad pengenalan baharu mengundang padah apabila ditahan polis di Ranau, semalam.

Seorang wanita tempatan berusia 40-an yang dipercayai menjadi dalang sindiket menawarkan kad pengenalan kepada warga asing itu turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati dua wanita berasal dari Filipina masing-masing berusia 16 tahun dan 30-an itu tampil ke JPN untuk memohon kad pengenalan.

Katanya, bagaimanapun semakan JPN pada rekod nombor kad pengenalan milik penama tidak sepadan berdasarkan perbandingan cap jari dan imej gambar daripada Sistem Pengecaman Cap Jari Bersepadu (AFIS).

“Antara dokumen yang dikemukakan suspek adalah surat daftar perkahwinan, surat daftar kelahiran, surat daftar kelahiran bukan warga negara, borang permohonan kad pengenalan dan dokumen keputusan pertanyaan imej AFIS.

“Selain itu, 50 keping wang kertas RM100 berjumlah RM5,000 turut dikepilkan. Wang dan semua dokumen ini dirampas pihak polis untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sammy berkata, menerusi kerjasama Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ranau dan IPD Tuaran, suspek yang menjadi dalang sindiket itu ditahan pada hari sama.

“Polis mendapatkan perintah reman ke atas suspek bermula hari ini sehingga 15 Februari ini bagi membantu siasatan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *