TAWAU: Seorang lelaki warga emas ditemui mati dipercayai akibat masalah kesihatan di kawasan siar kaki sebuah hotel di Jalan Haji Karim, dekat sini, malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Ramalingam Tharumalingan, 81, dengan alamat terkahirnya di Southern Park, Klang Selangor ditemui orang ramai yang kemudiannya menghubungi pihak polis kira-kira 10.30 malam.
Saksi kejadian, Japarudin Bacho, 45, yang juga pemandu teksi, berkata mayat yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan terbaring ketika dia sedang menunggu penumpang berhampiran hotel berkenaan.
“Lelaki itu dikatakan terjatuh secara tiba-tiba ketika melalui kawasan berkenaan sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Tidak lama selepas itu, kelihatan sepasukan anggota polis tiba dan memasang pita keselamatan sebelum mayat mangsa dibawa menggunakan lori polis,” katanya.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa mati akibat masalah kesihatan namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya,” katanya. – Berita Harian