Sabah Negeri Pertama Di Dunia Tukar Sisa Kayu Tropika Kepada Bio Plastik

KOTA KINABALU: Sabah menjadi negeri pertama di dunia menggunakan aplikasi teknologi menukar sisa kayu tropika industri pembalakan kepada bio plastik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penghasilan bio plastik itu dilihat mampu mengurangkan pencemaran berbanding penggunaan plastik sedia ada dipasaran ketika ini.

Dikenali sebagai Projek Benta X, Mohd Shafie berkata projek berkenaan dijangka bermula tahun hadapan dan pembinaan kilang  mengambil masa selama 24 bulan.

“Kos keseluruhan projek pula kira-kira RM45 bilion namun perbelanjaan permulaan menelan belanja lebih RM1 bilion.

“Menerusi projek ini, kita jangka boleh hasilkan lebih 10 juta tan bio resin dalam jangka masa 15 tahun.

“Teknologi seumpama ini sudah digunakan di Amerika Syarikat namun mereka menggunakan sisa jagung serta ubi kayu.

“Bagaimanapun, ia agak kurang bertepatan dengan kita kerana dua bahan ini adalah kegunaan makanan bagi manusia dan haiwan, “katanya ketika sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Benta Wawasan Sdn Bhd, Biosea Corporation Sdn Bhd dan Lax Global Resources Sdn Bhd.

Mohd Shafie berkata kerjasama berkena amat baik untuk kita berupaya mengeluarkan bio plastik yang menjadi tuntutan kepada dunia hari ini kerana memahami masalah pencemaran utama kini berkaitan plastik.

“Kita mahu menyumbang supaya dunia berubah kepada kaedah lebih baik dan hijau,” katanya. -SabahNewsToday

659