KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melancarkan tabung kutipan dana bagi membantu rakyat China di Wuhan yang kini berdepan kesukaran berikutan penularan wabak koronavirus.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, tabung kutipan dana khas yang merupakan inisiatif kerajaan negeri itu akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Kita sudah kutip sedikit dana dan kita akan beri bantuan kepada China. Walaupun mereka banyak duit tapi, ini adalah tanggungjawab kita selaku rakan kerjasama China dalam sektor pelancongan.
“Mereka banyak membantu meningkatkan industri pelancongan di negeri ini dengan kedatangan mereka ke Sabah. Jadi, ini masanya untuk kita membalas balik jasa mereka,” katanya ketika mengulas mengenai langkah kerajaan dalam membantu China.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran e-wallet ‘Sabah Pay’ yang dibangunkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), di sini hari ini.
Tambahnya, mereka menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta bagi tabung berkenaan.
Beliau berkata, sekiranya vaksin koronavirus ditemui dan penyakit berkenaan sudah boleh dirawat, Sabah akan berbincang semula dengan pihak berkuasa untuk menggalakkan semula pelancong China datang ke Sabah pada masa akan datang.
Menurutnya, langkah mengenakan penggantungan sementara penerbangan dari China itu dilakukan berikutan keadaan Sabah yang berdepan kekurangan kemudahan perubatan.
Katanya, beliau sudah memaklumkan kepada kedutaan China mengenai keadaan Sabah yang serba kekurangan dalam kemudahan perubatan.
“Kita tidak boleh membina penempatan sementara sekiranya ada yang dijangkiti penyakit ini. Cuma difahamkan terdapat 12 katil di Tentera Laut Diraja Malaysia (Sepanggar) untuk tampung pesakit di situ jika ada kes positif berlaku di Sabah.
“Setakat ini tiada berlaku dan kita akan berjaga-jaga,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mahu penggiat industri pelancongan termasuk perhotelan dan pengusaha pelancongan supaya membincangkan pilihan lain dalam berdepan penurunan pelancong pada ketika ini.
Katanya, usaha meningkatkan kemasukkan pelancong domestik antara pendekatan yang boleh diambil.
Tanbahnya, ini kerana, hampir separuh pelancong yang datang ke Sabah adalah disumbangkan oleh pelancong domestik seperti dari Sarawak, Semenanjung Malaysia dan juga dari negara jiran seperti Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina. – BorneoToday