‘Kantoi’ Jual Telefon Curi Di Laman Web

Antara telefon bimbit yang dirampas.

PENAMPANG: Curi dan jual telefon bimbit di laman Mudah.my. Itu modus operandi digunakan tiga lelaki untuk menjual barangan dicuri mereka sebelum ditahan polis secara berasingan di Jalan Bundusan, Penampang dan Jalan Tuaran Bypass, Tuaran, semalam.

Tiga suspek berusia 19 hingga 34 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik premis di sebuah pusat beli belah Megalong, di Penampang yang mendakwa kedainya dipecah masuk.

“Kejadian dilaporkan berlaku 15 Januari lalu, pengadu mendakwa empat telefon bimbit, wang tunai RM200 dan pengecas mudah alih disimpan di kedainya hilang,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki kerana membeli telefon bimbit curi di laman web Mudah.my.

“Penahanannya membawa kepada tangkapan tiga lagi lelaki dipercayai suspek utama yang memecah masuk premis mangsa sebelum mengiklankan telefon bimbit itu di laman web berkenaan.

“Kita tahan tiga suspek utama itu dalam dua tangkapan berasingan di Jalan Bundusan dan Jalan Tuaran Bypass,” katanya.

Haris berkata, pihaknya berjaya temui semula empat telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah pengecas mudah alih yang dicuri mereka.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.- Harian Metro

493