Denda RM5,000 & Penjara Jika Gagal Beri Pendidikan Kepada Anak

Christina menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada salah seorang murid sekolah itu.

TAWAU: Ibu bapa berkemungkinan berdepan hukuman denda RM5,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal memberikan pendidikan kepada anak-anak ke sekolah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, pihak kerajaan berusaha memberi bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan melalui program-program yang dilaksanakan supaya tiada lagi alasan untuk ibu bapa gagal menghantar anak-anak ke sekolah.

“Program yang dilaksanakan itu antara langkah pihak kerajaan meringankan beban perbelanjaan pendidikan yang ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga murid,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan wang bantuan awal persekolahan kepada lebih 800 murid tahun satu hingga enam dan PKKI Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 4, di sini.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, pihak kerajaan juga sudah memansuhkan yuran persekolahan seperti yang sudah dijanjikan semasa pilihan raya lalu.

“Semua yang sudah disediakan oleh pihak kerajaan untuk pendidikan anak-anak itu diberikan kepada murid sekolah rendah hingga ke peringkat menengah tingkatan lima dari kalangan keluarga yang berpendapatan isi rumah kasar RM3,000 ke bawah,” katanya.

Mengulas lanjut, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), Kementerian Pendidikan berazam untuk terus melonjakkan kualiti pendidikan di mana kemenjadian murid dilihat secara holistik dan menyeluruh.

“Kerajaan komited dan sentiasa menekankan kepentingan pendidikan kepada semua anak-anak di Malaysia. Oleh itu kerajaan pada hari ini sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan anak-anak tidak kira latar belakang keluarga mampu mempunyai akses pendidikan.

“Selain bantuan awal, pemansuhan yuran dan pinjaman buku teks. Kerajaan juga menyediakan dana untuk menambah baik dan menyelenggara prasarana sekolah supaya murid sekolah boleh belajar dalam suasana kondusif dan ceria,” katanya.

Christina berkata, semua yang dilaksanakan ini disebabkan oleh kestabilan politik yang sedang kita nikmati pada hari ini.

“Diharapkan semua ibu bapa tidak mengabaikan persekolah anak-anak dan gunakan bantuan yang diberikan sebaik mungkin untuk membantu persekolahan mereka.

“Para murid juga diminta untuk menggunakan peluang persekolahan percuma itu untuk menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat dan mengasah daya kepimpinan kerana mereka aset yang bernilai kepada negara pada masa depan,” katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tawau Fung Thin Yein, Ketua Daerah Tawau Akhmad Monggoh, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau Abdul Hadi Abdul Karim dan Guru Besar SK Batu 4 Haidir Tasmin. – Utusan Borneo

1520