Lelaki Tikam Bekas Isteri Hingga Mati Di Bilik Sewa Bangunan Segama

Mangsa parah ditikam bekas suaminya dibawa menaiki ambulans untuk dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut ditikam bekas suaminya yang berang selepas enggan rujuk semula hubungan mereka dalam kejadian di sebuah di bilik sewanya di tingkat dua, bangunan Segama, di sini petang tadi.

Rina Amat, 37, yang parah di bahagian dada dan pergelangan tangan akibat ditikam menggunakan pisau dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia.

Suspek diberkas polis berhampiran lokasi kejadian di Segama, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian itu jam 2.20 petang, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan polis yang menjalankan siasatan berjaya memberkas suspek berhampiran lokasi kejadian manakala bekas isterinya yang parah dikejarkan ke HQE I untuk rawatan dan disahkan telah meninggal dunia jam 3.27 petang.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menemui mangsa di bilik sewanya untuk merujuk kembali hubungan mereka.

“Mangsa enggan dan berlaku pergaduhan sebelum suspek bertindak menikam bekas isterinya di bahagian dada dan pergelangan tangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, suspek berusia 37 tahun kemudian dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk disiasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, mangsa bekerja menjual sayur di Pemasaran Perikanan Sabah (SAFMA) manakala bekas suaminya sebagai nelayan. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *