KOTA KINABALU: Tiga premis menjual penutup hidung dan mulut di daerah ini dan Sandakan dikenakan kompaun berjumlah RM30,500 oleh Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHDP Sabah, Taha Julai berkata dua premis di daerah ini dikenakan kompaun masing-masing RM25,000 dan RM500 manakala di Sandakan dikenakan kompaun sebanyak RM5,000.
“Jumlah keseluruhan bagi ketiga-tiga kes ini, KPDNHEP Sabah mengenakan kompaun sebanyak RM30,500.
“Kompaun ini membabitkan kesalahan menjual penutup hidung dan muka melebihi harga kawalan dan gagal meletakkan tanda harga,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Taha berkata,kes disiasat mengikut Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Katanya, semenjak 29 Januari hingga 6 Februari lalu, sebanyak 332 premis runcit dan borong diperiksa dan dua premis di Kota Kinabalu dan Sandakan membabitkan sitaan keseluruhan bernilai RM3,160.
“Hari ini juga satu pemeriksaan khas berkaitan penjualan penutup hidung dan mulut dijalankan oleh pegawai penguatkuasa KPDNHEP Kota Kinabalu di premis sekitar Kampung Air untuk memastikan premis berkenaan menjual barangan itu pada harga yang ditetapkan.
“Pemantauan akan diteruskan membabitkan premis di seluruh Sabah. Sekiranya pengguna menghadapi maaalah dari segi harga jualan penutup hidung dan mulut, diminta membuat aduan ke pejabat KPDNHEP negeri atau cawangan berdekatan,” katanya.
SabahNewsToday