Penerbangan Terus Malindo Air Dari Kuala Lumpur – Sandakan Bermula 17 Februari

SANDAKAN: Malindo Airlines bakal memulakan penerbangan harian ke daerah ini pada 17 Februari depan.

Perkhidmatan baharu itu diumumkan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong yang menyatakan penerbangan harian dari Kuala Lumpur ke Sandakan sekali gus menyediakan pilihan perjalanan kepada penduduk daerah ini.

Beliau berkata, tiket penerbangan untuk perkhidmatan baharu itu juga sudah sedia untuk ditempah secara dalam talian dengan tawaran promosi menarik sempena pelancaran perkhidmatan baharu itu.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada syarikat penerbangan ini yang menyediakan perkhidmatan ke Lapangan Terbang Sandakan.

“Ini amat dialu-alukan kerana menyediakan pilihan perjalanan ke Sandakan dan seterusnya melalui rangkaian antarabangsa,” katanya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Vivian turut mengumumkan pihaknya memperkenalkan Skim Insentif Pelancongan Sandakan untuk membantu perniagaan tempatan termasuk hotel, operator pelancongan, restoran, penyedia pengangkutan dan perkhidmatan yang berkaitan pembekalan.

Menerusi skim itu, Parlimen Sandakan akan menyediakan sejumlah bantuan kewangan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan atau kelab untuk menggalakkan mereka menganjurkan acara, seperti mesyuarat, persidangan dan pameran di daerah ini.

“Ia susulan wabak korona virus yang menyebabkan ramai pelancong menangguhkan perjalanan ke Sabah termasuk daerah ini dan mampu mengakibatkan sektor pelancongan tempatan terjejas.

“Bantuan ini tidak besar, namun kita berharap ia boleh membantu sektor pelancongan di daerah ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *