Sarawak Rekod 11 Kes Baharu Disyaki Koronavirus

Kamera thermal bagi mengesan suhu badan di Pusat Pemantauan Saringan Suhu Badan bagi mengesan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Foto Mohd Fadli Hamzah

KUCHING: Jumlah kumulatif pengesanan kes yang disyaki (PUI) bagi jangkitan koronavirus baharu (2019-nCoV) di Sarawak mencecah 57 orang direkodkan sejak 10 Januari lalu hingga hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, sehingga jam 10.30 pagi tadi, 11 pesakit baru diletakkan dalam siasatan kerana mengalami tanda-tanda demam, batuk dan selesema.

“Daripada jumlah itu, sembilan kes dilaporkan di Hospital Sibu, manakala Hospital Umum Sarawak di Kuching dan Hospital Miri masing-masing satu kes,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, daripada 57 kes PUI terkumpul di Sarawak setakat ini, sebanyak 36 disahkan negatif.

Katanya, sebanyak 21 lagi termasuk 11 kes baru hari ini masih menunggu keputusan ujian makmal.

Rakyat Malaysia menyumbang kepada jumlah tertinggi kes PUI di Sarawak iaitu 42 kes, diikuti 13 warga China dan masing-masing seorang warga Thailand dan Indonesia.

Harian Metro

1835