Jangan Masuk Sabah, Jika Pernah Ke China Dalam Tempoh 14 Hari Lalu

Safar Untong

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memperluaskan sekatan perjalanan di semua pintu masuk berkuatkuasa serta merta susulan penularan Novel Coronavirus (2019-cNoV).

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata penguatkuasaan larangan masuk sementara itu membabitkan perjalanan menggunakan pintu masuk udara, laut dan darat.  

“Langkah ini adalah pendirian terkini Kerajaan Negeri walaupun Sabah masih bebas daripada pembawa virus 2019-nCoV,” katanya, menerusi kenyataannya, di sini.

Safar berkata semua warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tanah Besar China dalam tempoh 14 hari yang lalu tidak akan dibenarkan memasuki Negeri Sabah.

Begitu juga rakyat Malaysia (bukan pemastautin Sabah) yang mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh serupa, tidak akan dibenarkan memasuki negeri ini.

“Penduduk Sabah, pemastautin tetap dan pemegang pas kerja, pas pelajar, pas lawatan sosial jangka panjang atau sebarang perintah pengecualian, yang kembali dari China adalah tertakluk kepada kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Semua penumpang transit yang berasal atau melalui kawasan Tanah Besar China juga tidak akan dibenarkan untuk memasuki negeri ini (melalui semua pintu masuk),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat China yang masih berada di Sabah dinasihatkan untuk berlepas atau kembali ke negara asal sebelum tarikh tamat visa mereka berakhir.

Sekiranya ada rakyat China di Sabah tetapi visa mereka sudah tamat tempoh pula, beliau berkata had masa lanjutan hanya boleh diberikan sehingga maksimum tujuh hari sahaja.

Sumber: Utusan Borneo

563