PGA Beluran Rampas Rokok Bernilai RM68 Ribu

Rokok yang dijumpai dalam serbuah berkenaan.

SANDAKAN:  Seorang lelaki ditahan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran ketika sedang leka memunggah 367 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM68 ribu di sebuah rumah di Taman Suria Jalan Lintas Sibuga, petang kelmarin.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 20 Beluran,  Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata pihaknya yang diketuai oleh Inspektor Mohd Damsa Dahlan bersama lapan anggota Tiger Platoon Batalion 20 PGA Beluran telah ke lokasi berkenaan untuk membuat serbuan penjualan rokok seludup lebih kuran jam 6.30 petang.

“Semasa tiba di tempat kejadian, kelihatan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara dan seorang lelaki sedang memunggah beberapa plastik berbungkus berwarna hitam di dalam kenderaan yang di percayai rokok seludup dari dalam rumah tersebut,” katanya.

Beliau berkata apabila Inspektor Mohd Damsa bersama pasukan serbuan menghampiri lelaki berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis.

“Lelaki berkenaan kemudiannya menyerah diri dan mengaku sebagai penjaga rumah tersebut,” katanya.

Nasaruddin berkata pihaknya kemudiannya menemui  64 karton rokok jenama Tradition, 35 karton rokok jenama Astro Merah, 250 karton rokok jenama Astro Hijau dan 18 karton rokok jenama Apache yang dianggarkan bernilai RM68,159.00 termasuk cukai.

“Pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Proton Iswara bernilai RM7 ribu dan wang tunai sejumlah RM107.00,” katanya.

Beliau berkata tangkapan dan rampasan barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *