FAMA Bantu Kelancaran Pelan Pembangunan Pertanian Sabah

KOTA KINABALU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mewujudkan pelan tindakan untuk seiring dengan usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membangunkan produk tempatan selaras dengan Pelan Pembangunan Pertanian 2021-2030 yang telah dirangka.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, pelan tindakan itu akan memastikan FAMA bersama pihak kementerian turun ke kawasan pedalaman untuk melihat produk-produk pertanian yang boleh dibangunkan dan dipasarkan.

“Di dalam pelan tindakan yang disediakan oleh MAFI menggariskan dasar dan juga strategi maka pihak FAMA memperhalusi strategi-strategi itu untuk kita menyediakan pelan tindakan, kita akan turun sampai ke bawah untuk melihat bagaimana produk-produk dari pedalaman sebagai contoh kelapa dari Semporna yang sekarang kita bawa ke Semenanjung.

“Ini untuk mempercekapkan lagi sistem pemasaran, itu kita akan adakan tetapi saya akan bagi jaminan bahawa ia selaras dengan pelan tindakan yang disediakan oleh MAFI,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) petang ini.

Terdahulu, beliau melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Dalam pertemuan itu katanya, beberapa perkara telah dibincangkan tentang kerjasama yang boleh dijalin termasuk pembinaan segera Pasar Tamu Kunak yang telah pun diluluskan demi kemudahan peniaga dan pengunjung di situ.

Selain itu katanya, FAMA turut melihat beberapa produk di negeri ini yang boleh dipasarkan ke Semenanjung sepertu durian kampung dan produk hiliran berasaskan pisang Sabah.

“Tadi kita membincangkan ada beberapa perkara utama yang pertama yang amat berhormat telah pun bersetuju untuk kita menaik taraf bersama dengan kerajaan negeri Pasar Tamu Kunak supaya dapat ditingkatkan lagi dan supaya dapat memberi peluang kepada peniaga-peniaga berniaga dalam suasana yang lebih selesa, projek ini akan dimulakan segera kerana ia merupakan salah satu projek yang telah pun disediakan peruntukannya oleh Kerajaan Pusat bagi kita membantu menaik taraf Pasar Tamu Kunak ini.

“Yang kedua kita melihat Sabah adalah merupakan sebuah negeri yang mempunyai sumber-sumber yang boleh kita hantar atau pun eksport ke Semenanjung atau pun negeri-negeri lain, sebagai contoh tahun lepas Sabah telah pun membekal pisang Sabah sebanyak RM34.32 juta sepanjang 2019 ini adalah merupakan satu industri yang boleh dinaik tarafkan lagi di mana ia memberi pulangan kepada petani-petani kecil di samping itu juga kita akan cuba untuk setup beberapa pusat-pusat pemprosesan supaya pisang ini tidak hanya dihantar dalam bentuk segar tetapi boleh dibuat beberapa penambahbaikan seperti kerepek dan sebaginya,” katanya.

Tambah beliau, FAMA turut merancang membina sebuah pusat pemprosesan buah-buahan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) untuk memproses pelbagai buah-buahan seperti durian dan dijadikan dalam bentuk pes.

Tambahnya, FAMA telah menyerahkan jemputan rasmi kepada Ketua Menteri agar Sabah turut terlibat dalam Malaysia Fest yang akan diadakan di Singapura tidak lama lagi.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *