Polis Buru 9 Ahli Geng Kangkang, Cubaan Curi Barangan Di Supermarket

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan mangsa ditumbuk oleh kumpulan suspek.

SIPITANG: Polis kini giat memburu kira-kira sembilan individu termasuk wanita dipercayai ahli kumpulan ‘Geng Kangkang’ selepas didapati cuba melarikan sejumlah barangan di sebuah supermarket di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu berlaku apabila pihak majikan pegawal keselamatan bangunan mengesan beberapa individu dalam keadaan mencurigakan di dalam supermarket terbabit.

“Majikan dan seorang lagi pekerja bawahannya berumur 41 tahun kemudiannya memerhatikan gerak geri kumpulan terbabit yang dipercayai Geng Kangkang.

“Kumpulan terbabit kemudiannya tergesa-gesa meninggalkan supermarket terbabit sebaik menyedari mereka diperhatikam oleh pihak pengawal keselamatan di sana,” katanya.

Beliau berkata semasa pengawal keselamatan terbabit berada berseorangan di luar supermarket terbabit dia kemudiannya didatangi seorang lelaki tidak dikenali dipercayai salah seorang daripada ahli kumpulan itu yang bertindak menumbuk mangsa di bahagian muka.

“Mangsa yang terjatuh akibat tumbukan terbabit cuba untuk bangun bagaimanapun dia ditumbuk kali kedua di bahagian muka oleh satu lagi suspek lain yang datang secara tiba-tiba.

“Beberapa lagi suspek cuba untuk membelasah mangsa bagaimanapun gagal berbuat demikian apabila mangsa melarikan diri dari kawasan berkenaan.

“Kesemua suspek bagaimanapun meninggalkan lokasi selepas majikan mangsa datang ke arah mangsa,” katanya sambil menambah tiada barangan yang berjaya dilarikan kerana kesemua suspek terus melarikan diri.

Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan iaitu bengkak di bahagian kedua-dua pipi akibat tumbukan terbabit.

Tambahnya hasil siasatan mendapati salah seorang wanita yang turut terlibat dalam kes ini pernah mencuri barangan yang terdapat di dalam supermarket terbabit.

“Suspek juga bertindak berpura-pura sebagai pelanggan sebelum bertindak memukul mangsa secara tiba-tiba di luar supermarket terbabit.

“Kesemua suspek dilihat melarikan diri menggunakan dua buah kenderaan jenis kompak dengan nombor pendaftaran yang belum dikenalpasti,” katanya.

Menurutnya polis kini sedang giat memburu kumpulan ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/511 Kanun Keseksaan.

Utusan Borneo

2467