1,700 Balak Bernilai RM1 Juta Ditebang Secara Haram Dirampas

SIPITANG: Sebanyak 1,700 batang balak dianggarkan bernilai lebih RM1 juta, yang ditebang secara haram dikesan di Long Mio, di sini kelmarin.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd. Jaini mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan media, hari ini.

“Terdahulu Skuad Khas Jabatan Perhutanan Sabah (SFD Protect) menerima aduan mengenai pencerobohan hutan di kawasan konsesi Sabah Forest Industries Sdn. Bhd. di Hutan Simpan Ulu Sungai Padas.

“Hasil tinjauan menerusi udara yang dilakukan, Pasukan Penguatkuasa Khas dan SFD Protect berjaya mengesan longgokan kayu balak di Long Mio, dipercayai ditebang secara haram dan tidak berlesen,” katanya.

Mashor berkata, bertindak atas maklumat pemantauan udara yang dilakukan, pasukan unit SFD Protect melakukan serbuan di lapangan, kelmarin dalam usaha menangani isu pembalakan haram di negeri ini.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kira-kira 1,700 batang kayu balak yang dilonggokkan di beberapa lokasi berasingan disitu.

“Siasatan awal mendapati tiada kebenaran untuk aktiviti pembalakan dikeluarkan, sekali gus bercanggah dengan Enakmen Hutan 1968,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 20 Enakmen Hutan 1968 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500,000 dan penjara antara satu hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

“Saya memberi amaran kepada semua pihak berkaitan termasuk pemilik tanah agar tidak memandang ringan isu ini.

“Pihak kami tidak akan berkompromi dan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.

Semua kayu balak itu, dirampas bagi membantu siasatan, manakala tiada individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *