KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya lima ke enam das tembakan dilepaskan oleh suspek menggunakan senapang yang menyebabkan tiga termasuk dua kanak-kanak cedera di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia 30-an yang menaiki bot pam dipercayai melepaskan tembakan ke arah jambatan di kampung itu.
“Menurut beberapa saksi kejadian, suspek dari arah bot melepaskan lima ke enam das tembakan dipercayai menggunakan senapang laras panjang.
“Namun kita tidak dapat pastikan jenis senapang yang digunakan suspek,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.
Habibi berkata, pihaknya sedang mengesan suspek yang dipercayai bersembunyi di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya.
“Sejak kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu dan Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah menjalankan risikan dan pemantauan di lokasi kejadian bagi mengesan suspek dan menghalang dia melarikan diri.
“Dengan elemen berkenaan, saya harap dalam tempoh terdekat ini, kita dapat kesan dan berkas suspek terbabit,” katanya.
Ditanya mengenai motif kejadian, Habibi berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian itu dan kemungkinan kejadian itu bukan tembakan rambang.
“Mungkin motif lain yang kita masih belum pasti di antara mangsa dengan subjek (suspek) itu sendiri.
“Orang ramai tidak perlu risau kerana kejadian ini adalah terpencil dan sudah beberapa tahun kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Habibi berkata, semua mangsa yang juga warga tempatan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam kejadian jam 7 malam semalam, suspek menembak tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak di atas jambatan Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.
Dua mangsa berusia 36 dan 10 tahun parah manakala seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun cedera ringan.
Harian Metro