SANDAKAN, 6 Feb: Dua gelanggang bola keranjang di Sandakan akan dibaik pulih dan sebuah kompleks sukan pula akan dinaik taraf dengan peruntukan Persekutuan sebanyak RM2.5 juta tahun ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong berkata projek membaik pulih dua gelanggang bola keranjang awam di Bandar Kim Fung dan Taman Pertama di sini dijangka siap dalam tempoh enam bulan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM500,000.
Katanya projek menaik taraf Kompleks Sukan Komuniti Libaran dijangka siap dalam tempoh setahun dengan kos RM2 juta.
“Antara skop membaik pulih gelanggang bola keranjang ini ialah membaiki lantai gelanggang, membina bumbung dan memasang lampu untuk keselesaan masyarakat sekitar yang sering menggunakan gelanggang ini untuk sukan bola keranjang dan aktiviti riadah lain.
“Untuk Kompleks Sukan Komuniti Libaran pula memakan peruntukan yang agak besar kerana kompleks itu sangat uzur dan melibatkan banyak skop kerja seperti menaik taraf dewan serba guna dan membaik pulih paip serta pendawaian semula bekalan elektrik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Gelanggang Bola Keranjang Bandar Kim Fung di sini hari ini.
Menurut Sim, kerja membaik pulih dan menaik taraf projek berkenaan dijangka dimulakan pada suku kedua tahun ini.
BERNAMA