Polis Kepung Lokasi Suspek Lepas Tembakan Di Pulau Gaya

Anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) IPK Sabah dilihat berada di Markas Operasi Pangkalan Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu, pagi ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis sudah mengenal pasti tempat persembunyian suspek yang melepaskan tembakan hingga tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak berusia 10 dan tiga tahun parah.

Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu, Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Pasukan Polis Marin (PPM) sedang melakukan ‘cut-off’ di lokasi suspek bersembunyi daripada, sejak jam 8 malam tadi hingga kini.

Difahamkan, suspek disyaki bersenjata menggunakan bot kampung dan bersembunyi di bawah rumah atas air di sekitar Kampung Pondo, Pulau Gaya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata sepasukan polis sedang mengawal laluan keluar di kawasan persembunyian suspek.

“Kita sudah mengenal pasti lokasi suspek dan sedang membuat kepungan di lokasi persembunyian suspek.

Lokasi yang dipercayai tempat persembunyian suspek bersenjata. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ini bagi mengelak suspek daripada melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 7 malam tadi, suspek menembak tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak di atas jambatan Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.

Bot RHIB milik Pasukan Polis Marin Wilayah 4 kelihatan meronda disekitar kawasan Pulau Gaya, pagi ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dua mangsa berusia 36 dan 10 tahun parah manakala seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun cedera ringan dan semua mangsa stabil dan dirawat di HQE.

Sebelum kejadian itu juga, suspek dipercayai turut melarikan enjin dan bot nelayan di kawasan perairan Kinarut dan Meruntum. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *