PPM Rampas 240 Kotak Topeng Bedah Seludup

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan penutup hidung dan mulut, di perairan Pelabuhan Tawau, di sini petang tadi.

Sebanyak 240 kotak barangan buatan Indonesia tersebut yang dianggarkan bernilai RM4,800 dirampas dalam operasi pada pukul 2.30 petang.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, terdahulu, pihaknya mengesan satu bot penambang bergerak dari Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik, menuju ke arah Tawau, dikendalikan seorang lelaki warga Indonesia berumur 40 tahun.

“Pasukan bertugas kemudian bertindak menahan bot tersebut untuk melakukan pemeriksaan sebelum menemui enam bungkusan kotak berwarna coklat.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lebih 200 kotak berisi mask yang digunakan untuk pembedahan terdiri daripada jenama buatan Indonesia iaitu Onemed dan Skineer,” katanya.

Tambah Mohamad Pajeri, juragan bot tersebut mendakwa barang itu adalah milik seorang rakyat Malaysia dan akan diserahkan kepada pemiliknya sebaik tiba di Tawau.

“Bagaimanapun, juragan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau surat kebenaran bagi membawa barangan tersebut sekali gus menguatkan dakwaan berkemungkinan ia diseludup masuk ke negeri ini.

“Sehubungan itu, semua barangan tersebut dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barang dari luar negara ke Malaysia tanpa kebenaran pihak kastam.

Sementara itu, Borneo Today difahamkan penyeludupan terbaharu itu dipercayai berikutan pemintaan tinggi terhadap mask di negeri ini khususnya selepas isu kesihatan global penularan wabak koronavirus.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan beberapa daerah di Sabah termasuk Tawau mengalami masalah kehabisan penutup hidung dan mulut di pasaran sejak bulan lalu akibat wabak tersebut.

Malah pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berjaya mengesan segelintir pengusaha farmasi yang mengambil kesempatan menjual dengan harga sekali ganda lebih mahal berbanding harga pasaran yang ditetapkan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *