KOTA KINABALU: Pasukan berstatus WorldTour, NTT Pro Cycling memberi amaran awal mengenai kehadiran mereka di perlumbaan berprestij, PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 selepas pakar pecut mereka, Max Walscheid meraih kemenangan dalam acara pemanas badan, Kriterium Antarabangsa di sini, hari ini.
Pelumba berusia 26 tahun, Walscheid mengatasi pencabar tempatan dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh yang muncul naib juara manakala Blake Quick (St George Cycling Team) berada di tempat ketiga dengan catatan penamat beramai-ramai, 1 jam 42:01 saat.
Perlumbaan 80 kilometer (km) yang bermula dan berakhir di Padang Merdeka itu disertai 116 pelumba dan bagi Walscheid, dia gembira dengan keputusan berkenaan yang secara tidak langsung menyuntik semangat menjelang Peringkat 1 di Kuching, Sarawak, esok.
“Saya fikir, kami sentiasa berada dalam posisi yang baik hari ini,” kata Walscheid. “Kami mempunyai dua daripada pelumba terkuat pasukan dalam kelompok pemecah jadi kami tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.”
“Satu perasaan yang bagus untuk memulakan musim dengan kemenangan. Ia sedikit melegakan daripada tekanan yang kami hadapi. Kami boleh memastikan yang kami berada dalam keadaan baik. Kami akan cuba meneruskan kejayaan seperti ini, esok.”
Untuk rekod, NTT adalah satu-satunya pasukan berstatus WorldTeam yang menyertai edisi ke-25 LTdL, tahun ini.
Peringkat 1 LTdL di Kuching membabitkan laluan sejauh 96.2km bermula dan berakhir di Padang Merdeka sebelum Terengganu menjadi lokasi untuk Peringkat 3 keesokannya. Perlumbaan di Terengganu membabitkan laluan dari Kuala Terengganu ke Kerteh dengan jarak keseluruhan, 175.5km.
Edisi Jubli Perak kali ini mempunyai lapan peringkat keseluruhan, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan negeri termasuk Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
Info keputusan
1. Maximilian Walscheid (NTT) 1:42:01 saat
2. Mohd Harrif Saleh (TSG) 1:42:01s
3. Blake Quick (STG) 1:42:01s
4. Matteo Pelucchi (BCF) 1:42:02s
5. LECROQ Jérémy Lecroq (VCB) 1:42:02s
6. Dusan Rajovic (NDP) 1:42:02s
7. Taj Jones (ACA) 1:42:02s
8. Riccardo Minali (NDP) 1:42:02s
9. Luca Pacioni (ANS) 1:42:02s
10. Giovanni Lonardi (BCF) 1:42:02s
Sumber: Berita Harian