12 Sarang Dadah Diroboh Dalam Ops Bersepadu Di Kampung Puyut

Antara rumah yang dirobohkan dalam operasi itu.

LAHAD DATU: Sebanyak 12 rumah dan pondok yang menjadi sarang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dirobohkan dalam Ops Bersepadu di Kampung Puyut, di sini.

Daripada jumlah itu, 11 yang diroboh merupakan ‘port’ pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Sebuah kediaman pondok kecil di tepi sungai turut dirobohkan setelah ditemukan disyaki ‘laluan tikus’ untuk melarikan diri dari tindakan penguatkuasaan.

Ketua Operasi merangkap Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu ASP Chai Yee Siang berkata, operasi itu disertai 61 anggota penguatkuasaan dan keselamatan terdiri PDRM (8), Majlis Daerah Lahad Datu (19), Jabatan Perhutanan (11), Sabah Electricity Sdn Bhd (20) dan Jabatan Air (3).

“Dalam operasi ini rumah yang dijadikan sarang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah telah dirobohkan dan dimusnahkan bahan binaannya agar ianya tidak dibina semula,” katanya.

Menurutnya, kesemua rumah yang dirobohkan itu juga didapati didirikan di kawasan hutan bakau yang merupakan kawasan hutan simpanan di bawah perlindungan Akta Perhutanan.

Katanya, SESB juga telah bertindak membuat pemotongan bekalan elektrik dan merampas lebih kurang 90 kilogram wayar elektrik.

Sumber: Utusan Borneo

4276