Geng Kandis Tumpas, Polis Rampas Kabel SESB Dicuri

Azhar melihat kabel yang berjaya dirampas.

SANDAKAN: Polis berjaya menumpaskan Geng Kandis yang terlibat  mencuri kabel SESB di Jalan Sukau menghala Suan Lamba selepas tertangkapnya lima lelaki dan seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Azhar Mohd Hamin berkata pihaknya telah menahan dua lelaki tempatan berumur 18 dan 36 tahun di Bandar Sibuga Jaya Batu 8 Sandakan.

Beliau berkata ekoran tangkapan terbabit, pihaknya telah pergi ke Kampung Gomantong Jaya Suan Lamba.

Katanya tiga lelaki warga tempatan berumur 31 hingga 39 tahun berjaya ditahan kerana disyaki terlibat.

“Pihak polis juga menahan seorang wanita berumur 32 tahun di sebuah kedai besi buruk Kampung Jaya Baru Kinabatangan kerana disyaki membeli tembaga kabel dan disyaki terlibat dalam kes jenayah itu,” katanya.

Beliau berkata ujian air kencing terhadap lima suspek itu mendapati positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu.

“Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media.

Azhar berkata pihak polis telah berjaya merampas kabel SESB yang dipotong di dalam sebuah ladang sawit di Jalan Sukau.

Pihaknya juga merampas lebih kurang 426 kilogram tembaga yang disimpan dalam sebuah rumah di Taman Tshun Ngen Batu 5 Sandakan.

Beliau berkata suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau dibawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2012, 2015 dan 2019.

“Modus operandi kumpulan ini memotong dan mengupas kulit kabel untuk mengambil tembaga di dalam kabel berkenaan untuk dijual,” katanya.

Azhar berkata nilai kerugian SESB dianggarkan RM1,750,000.

Beliau berkata pihak polis telah berjaya menyelesaikan dua kes kecurian kabel SESB di Jalan Sukau-Suan Lamba Sandakan.

Sumber : Utusan Borneo

849