SEMPORNA: Tiga lelaki berumur antara 15 hingga 60 tahun ditahan selepas dikesan membawa beberapa jenis barangan bersubsidi tanpa kebenaran di perairan Pulau Mataking, pada pukul 5.30 petang semalam.
Semasa ditahan, Pasukan Polis Marin (PPM) menemukan dan merampas 75 liter minyak petrol, 85 bungkus minyak masak, tiga kotak belacan serta 30 bungkus ubi kayu.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, terdahulu pihaknya melakukan rondaan di kawasan tersebut sebelum menemukan satu bot pam dikendalikan seorang lelaki bersama dua penumpang warga tempatan dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan bertugas kemudian bertindak menahan bot tersebut bagi melakukan pemeriksaan sebelum menemui beberapa barangan bersubsidi dalam kuantiti yang banyak.
“Bagaimanapun, semua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna atau resit pembelian,” katanya.
Sehubungan itu, semua suspek ditahan manakala semua barangan terbabit termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai hampir RM5,000, dirampas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.