Bitcoin: Pelabur Rugi RM1.3 Juta

Mangsa penipuan Bitcoin berhimpun di hadapan IPD Kajang, semalam.

Jual rumah dan kereta bagi membayar ganti rugi kepada 60 pelabur lain berjumlah RM558,000.

Itu nasib menimpa seorang daripada mangsa penipuan pelaburan bitcoin, Dino Amir, 39, yang mengalami kerugian lebih RM1.3 juta.

Dino berkata, dia mengetahui mengenai pelaburan itu melalui kenalannya Mei 2016.

“Saya dijanjikan keuntungan satu peratus setiap hari daripada jumlah pelaburan bitcoin.

“Saya kemudian tertarik menyertai pelaburan itu dan turut menawarkan kepada rakan dan ahli keluarga supaya ikut serta melabur.

“Bagi tempoh beberapa bulan, saya berjaya mengumpul 60 pelabur lain yang turut sama melabur bagi 200 bitcoin membabitkan pelaburan RM1.3 juta diletakkan dalam 10 akaun.

“Jumlah pelaburan itu membabitkan RM558,000 wang pelabur lain manakala selebihnya iaitu RM800,000 pula pelaburan dibuat saya sendiri,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, semalam.

Dia yang bekerja sendiri berkata, pihaknya hanya menyedari mereka ditipu selepas akaun bitcoin berkenaan tidak dapat diakses selepas beberapa bulan menerima keuntungan dijanjikan.

“Selepas tiga bulan membuat pelaburan, kami tidak dapat mengakses akaun bitcoin selepas ia ditukarkan kepada pelaburan mata wang lain.

“Disebabkan itu, saya terpaksa menjual rumah dan kereta bagi membayar semula wang pelabur kerana desakan mereka yang mahukan wang semula,” katanya yang juga ketua wakil mangsa penipuan sindiket berkenaan.

Dino bersama 29 mangsa lain hadir di IPD Kajang untuk membuat laporan bersabit tangkapan seorang suspek yang dipercayai menjadi dalang penipuan pelaburan itu, Sabtu lalu.

Sementara itu, seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Jacky, 42, berkata, dia dan 20 ahli keluarganya kerugian RM1.28 juta selepas melabur untuk 80 bitcoin dengan sindiket berkenaan.

“Kawan memperkenalkan saya dengan pelaburan itu pada April 2016. Dalam tempoh beberapa bulan, saya mendapat pulangan kira-kira RM96,000 selepas menjual enam bitcoin yang diperoleh hasil keuntungan pelaburan.

“Disebabkan keuntungan meyakinkan, saya mengajak 20 ahli keluarga lain menyertai pelaburan sebanyak 80 bitcoin berjumlah RM1.28 juta menerusi empat akaun sebelum mengetahui akaun itu tidak dapat diakses selepas ditukar kepada pelaburan mata wang asing lain,” katanya.

Jacky yang juga eksekutif jualan berkata, dia kini menanggung hutang ekoran membuat pinjaman bank untuk membiayai pelaburan itu selain terpaksa berdepan dengan desakan pelabur lain.

“Banyak masalah timbul apabila akaun bitcoin berkenaan tidak dapat diakses. Saya kerap dimarahi ahli keluarga kerana kehilangan wang pelaburan itu.

“Malah, gaji saya kini hanya mampu untuk menampung bayaran pinjaman bank yang dibuat untuk membiayai pelaburan itu sebelum ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, A Arokianathan, 41, berkata, dia bukan saja kerugian wang RM57,000, malah turut kehilangan kerja serta dibelenggu hutang akibat ditipu sindiket berkenaan.

“Saya juga pernah mendapatkan rawatan psikiatri akibat terlalu tertekan susulan pelaburan berkenaan,” katanya.

Harian Metro

5030