Empat Pengedar Dadah Dicekup Di Kota Belud, Rampas Syabu Bernilai RM4670

KOTA BELUD: Empat pengedar dadah dicekup pihak polis menerusi serbuan Ops Ice Breaker di Kampung Keguraan di sini, kelmarin.

Operasi bermula jam 11 pagi dan berakhir 2 petang itu dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Belud.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan laporan, berkata pihaknya turut merampas dadah jenis syabu seberat 31.14 gram anggaran bernilai RM4670.

“Ketika serbuan dijalankan, suspek cuba melarikan diri mengikut pintu dan tingkap, namun strategi mengepung lokasi suspek berjaya menahan kesemua suspek.”

“Malahan, salah seorang suspek mengaku, menyembunyikan bekalan dadah dibekas menyimpan cermin mata sebelum dirampas,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya semua suspek lelaki berusia 28 tahun sehingga 39 tahun terbabit, mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Semua suspek ini dipercayai sebagai pengedar dan menjual dadah di kampung ini manakala pelanggan dari daerah Kota Belud serta Kota Marudu.”

“Kesemua suspek warga tempatan itu direman sejak semalam sehingga 5 Februari ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, sekiranya disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Berita Harian

7571