Sabah Lancar Minyak Masak Keluaran Tempatan Jenama BESS

TAWAU, 3 Feb: Hasrat kerajaan Sabah mengeluarkan minyak masak jenama sendiri tercapai hari ini menerusi pelancaran minyak sawit ‘Benta Enak Sedap Sehat’ (BESS) yang juga seiring usaha memastikan rakyat membeli produk itu pada harga berpatutan.

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kilang Benta Edible Oil Sdn Bhd, anak syarikat Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB) yang juga unit Yayasan Sabah, di sini.

Mohd Shafie menyifatkan kejayaan itu sebagai bersejarah berikutan kemampuan kerajaan negeri menerusi BWSB untuk memproses, membungkus serta memasarkan minyak masak pada harga berpatutan dan demi kemudahan rakyat.

“Kilang minyak masak di Tawau yang menelan kos RM3.5 juta termasuk dari segi kemudahan kelengkapannya, berupaya mengeluarkan 2,000 tan minyak masak sebulan dengan stoknya tidak hanya untuk pasaran Tawau tetapi juga di daerah lain.

“Pengeluaran BESS ini sekali gus membuktikan kerajaan dapat menunaikan janji dalam Pilihan Raya Umum lepas iaitu jika (Parti Warisan Sabah) mengambil tampuk pemerintahan, kita akan buat pembaharuan dari segi meletakkan Sabah sebagai negeri yang menjalankan industri hiliran,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Minyak masak BESS itu dijual pada harga masing-masing RM5 sebotol untuk saiz 1 kilogram, 2 kilogram (RM9 sebotol) dan 5 kilogram (RM20 sebotol).

Mengulas harga itu, Mohd Shafie berkata pihaknya masih menunggu kelulusan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membabitkan subsidi minyak berkenaan.

“Jika kelulusan itu diterima, mungkin harga minyak BESS ini akan dikurangkan sehingga 30 peratus yang merupakan antara usaha kerajaan membantu rakyat membeli pada harga lebih berpatutan,” katanya.

Selain itu, Mohd Shafie berkata satu kawasan industri hiliran akan dibangunkan di tanah seluas 200 ekar (80.94 hektar) di Tawau tidak lama lagi bagi menempatkan usaha penghasilan produk seperti minyak masak, lilin, sabun serta kosmetik. 

“Usaha ini membabitkan penggunaan beberapa teknologi Jepun. Oleh itu, kerajaan Sabah berhasrat menjalin usaha sama dengan pihak Jepun bagi mendapatkan manfaat itu, sejajar usaha negeri ini yang menumpukan penghasilan produk hiliran,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *