PBS Ucap ‘Selamat Maju Jaya’ Kepada Jamilah

Datuk Dr Maximus Ongkili

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini memutuskan untuk menerima keputusan Datuk Jamilah Sulaiman untuk meninggalkan parti itu.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata peletakan jawatan Jamilah yang merupakan salah seorang daripada tiga timbalan presiden parti selepas membuat perbincangan bersama Biro Politik.

Dua lagi timbalan presiden ialah Datuk Radin Malleh (kuota kaum Bumiputera) dan Datuk Dr Yee Moh Chai (kuota kaum bukan Bumiputera).

Mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatannya dari semua jawatan dan keahlian dalam parti, Dr Maximus mengharapkan yang terbaik untuk Jamilah dalam perjuangan politiknya di masa hadapan. 

“Kepimpinan parti menyedari bahawa beliau mempunyai masalah hubungan yang berterusan, terutama sekali dengan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS. 

“Jamilah seringkali dilihat masuk campur dalam perihal yang berada di luar spesifikasi dan bidang tugasnya. Beliau juga beberapa kali telah mengugut untuk meletakkan jawatan apabila kedua-dua pergerakan tidak menyatakan sokongan kepada beliau,” kata Dr Maximus mengulas pengumuman Jamilah untuk meninggalkan PBS. 

Dr Maximus menambah sepanjang penglibatan Jamilah di dalam parti, PBS sering memberi peluang kepada beliau untuk  berkhidmat kepada ahli dan rakyat Sabah, terutama sekali apabila parti itu berada dalam kerajaan Barisan Nasional.

“PBS juga menamakannya untuk berkhidmat dua penggal sebagai Senator di bawah kuota parti,” katanya.

Sementara itu, Dr Maximus berkata PBS mempunyai barisan pemimpin yang berpengalaman dan mampu untuk membantu memimpin parti.

“Kami mempunyai beberapa pemimpin parti kuota Muslim untuk mengisi kekosongan jawatannya.

“Bagi PBS, kami akan terus bergerak tanpa halangan. Rekod masa lalu menunjukkan bahawa kami semakin kuat dan kukuh walaupun menghadapi masalah atau ancaman luaran dan dari pihak  musuh,” katanya.

Dilaporkan 17 daripada 18 ahli jawatankuasa PBS Sindumin yang diketuai Jamilah turut keluar parti bersama beliau.

Jamilah dilaporkan berkata tidak dapat bekerjasama dengan kepimpinan parti terutama Dr Maximus yang antara lain didakwanya sebagai ‘pilih kasih dan hipokrit’.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *